Calon Barisan Nasional mengangkat sumpah ikrar aku janji pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO yang ada nama besar tidak perlu bersifat kebudak-budakan sehingga sanggup ‘merajuk’ dan menggugut untuk meninggal dan berlawan dengan parti apabila tidak dipilih menjadi calon parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Ramlah Adam berkata, tindak-tanduk pemimpin sebegini bukan sahaja memalukan sebaliknya membuktikan mereka selama ini berjuang semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

Rasa ketidakpuasan hati ini memang akan berlaku dalam mana-mana parti tetapi apabila ada pemimpin yang sanggup membelakangkan parti kerana tidak dicalonkan adalah amat memalukan.

“Pada saya situasi begini tidak seharusnya berlaku kerana kebanyakan mereka ini bukan menjadi ahli Parlimen sepenggal tetapi ada 30 tahun. Selama ini mereka telah diangkat untuk menjawat pelbagai jawatan, menerima pelbagai keistimewaan, ke mana mereka pergi diarak.

“Takkan dah berpuluh tahun tak cukup lagi. UMNO pun perlu pelapis baharu, takkan muka sama sahaja.

“Dan, pada mereka ini, takkanlah bila tidak dicalonkan terus mahu khianat parti. Mereka sepatutnya malu, di luar sana ramai akar umbi yang mendukung UMNO tetapi tidak berpeluang pun – jangan kata nak jadi menteri, jadi wakil rakyat pun tidak dapat walaupun mereka bekerja keras untuk parti.

“UMNO sudah 75 tahun, sudah tua. Sepatutnya pemimpin-pemimpin yang ada pun sudah matang, jaga adab sopan dalam berpolitik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir pemimpin dan penyokong penyandang-penyandang kerusi Parlimen yang tidak berpuas hati apabila nama mereka tidak dicalonkan pada PRU15.

Mengulas lanjut, Ramlah berkata, seharusnya mereka yang selama ini didukung oleh parti bertahun-tahun ini mempunyai sikap negarawan.

“Sikap negarawan ini bukan sahaja ditampilkan semasa berceramah, berkempen di depan akar umbi, tapi buktikan pada diri sendiri. Janganlah bila bercakap depan rakyat, semuanya untuk parti tapi bila nama tak naik jadi calon terus nak bertanding atas tiket lain.

“Muhasabah diri, terimalah hakikat pemimpin datang dan pergi,” ujarnya.

Namun, pada masa sama, Ramlah tidak menolak ada pemimpin heavyweight UMNO yang tercicir dalam senarai pencalonan kerana menyokong Perikatan Nasional yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga membelakangkan kepentingan parti dan suara akar umbi.

“Mereka menyokong PN, Muhyiddin sehingga imej UMNO cedera. Ada yang sanggup bersama dalam kerajaan PN walaupun nama mereka tidak dipilih oleh parti,” tambah beliau.

Ditanya sama ada ancaman yang dibuat oleh mereka yang tidak dicalonkan akan menjejaskan parti, Ramlah berkata, penyokong kepada pemimpin ini akan ikut tetapi akar umbi UMNO rasional.

Lagipun, ini kehendak mereka yang mahu calon baharu dan setia serta sayangkan UMNO.

Ramlah juga percaya, rakyat dan akar umbi akan ‘mengajar’ pemimpin UMNO yang menentang parti jika mereka bertanding melawan calon-calon yang dipertandingkan.

“Akar umbi UMNO ni istimewa, mereka sayang parti melebihi pemimpin,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. BN mesti jelaskan sebab apa mrk digugurkan. Kalau setakat dah berumur, Tengku Razaleigh lagi lama..kalau berbeza pandangan dgn kepimpinan, Tengku Razaleigh & KJ pun berbeza..jd apa sebenarnya sebab utama mrk digugurkan..perlu penjelasan supaya tak dikelirukan oleh pembangkansebenarnya beza pandangan tak da masalah..tp bila bersekongkol dgn Muhyidin menyerang BN/UMNO tu yg mmg patut digugurkan

Comments are closed.