Datuk Seri Dr Shahidan Kassim

ORANG politik sebenarnya tidak berjiwa besar. Kalau mereka kata mereka berjiwa besar, itu bohong namanya. Itu sandiwara semata-mata.

Selama ini, mereka tunjuk diri mereka berjiwa besar kalau musibah itu menimpa kepada diri orang lain.

Mereka akan beri nasihat dan menenangkan kawannya dengan kata-kata, banyak-banyak bersabar, parti lebih penting, perjuangan perlu diutamakan dari kepentingan diri, kerusi yang kita sandang ini adalah milik parti bukan hak milik kita.

Sejuk hati mendengar nasihat mereka. Kata-kata semangat ini dengan serta merta mematahkan hasrat kawan itu untuk memberontak dan bertindak terburu-buru.

Itulah yang selalu kita dengar. Kata-kata nasihat, kata-kata semangat dari mereka yang kononnya berjiwa besar. Kononnya dari mereka yang utamakan parti dan pentingkan perjuangan parti dari segala-galanya.

Tetapi apabila terkena pada batang hidung sendiri, nama tidak disenaraikan sebagai calon, maka melentinglah. Mengelupur tak cukup tanah. Mengamuk seperti orang hilang akal.

Dalam sekelip mata sudah lupa kata-kata nasihat, kata-kata semangat yang diberikan kepada kawan sebelum ini.

Calon Barisan Nasional mengangkat sumpah ikrar aku janji pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2022.

Malah tindakan mereka lagi dahsyat, semua bilik gerakan ditutup, bendera yang sudah siap dipasang diturunkan. Ada yang seberang ke parti lawan. Ada yang tubuh parti sendiri dan isytihar bertanding lawan calon dari bekas parti sendiri.

Tak cukup dengan itu, hasut pula pengikut dan penyokong supaya tidak keluar mengundi. Kalau keluar mengundi pun jangan pangkah calon dari parti sendiri. Biarlah parti yang mereka kumpul segala harta kekayaan kalah.

Ini memang terjadi dan berlaku dalam dunia politik. Tidak ada seorang pun ahli politik zaman sekarang reda sekiranya tidak dipilih. Kalau ada yang kata ‘reda’ itu, ia bukan keluar dari pengucapan ikhlas, sebaliknya nak tutup rasa malu.

Apabila setiap ahli politik masuk satu-satu parti politik, bertanding dan menang dan terus menang, mereka akan rasa seronok dan mahu bertanding lagi. Bila terlalu lama jadi wakil rakyat, mereka akan gelap mata. Mereka sudah lupa di bawah mereka ada pelapis yang patut diberi peluang.

Sebab itu, Bawah Kolong (BK) perhatikan, dalam setiap kali pemilihan calon untuk PRU, akan ada empat kategori, kategori calon muka baharu, kategori calon muka lama, kategori calon bangkit dari kubur dan kategori selagi tak masuk kubur.

Kategori calon muka baru dan muka lama adalah biasa. Cuma yang sikit pelik kategori calon bangkit dari kubur. Kategori ini adalah calon yang dulu pernah bertanding kemudian penggal seterusnya nama digugurkan. Tiba-tiba penggal kali ini nama mereka dicalonkan semula.

Annuar Musa digugurkan sebagai calon penyandang kerusi Parlimen Ketereh.

Kategori ini rakyat akan muak. Sebab mereka sudah tengok muka ini sebelum ni. Seolah tak ada nama lain atau muka lain yang lebih muda dan segar nak dicalonkan. Muka lama yang sudah berkedut juga dipilihnya.

Bagi kategori selagi tak masuk kubur pula adalah jenis wakil rakyat yang bertanding sejak zaman 60 an, 70 an, 80 an, 90 an dan sampai ke zaman milenium pun masih dicalonkan lagi untuk bertanding.

Jenis ini mungkin rakyat tak muak dan rakyat suka hingga berterusan beri kemenangan kepadanya. Tak apa, selagi tak masuk kubur, teruskanlah bertanding dan bertanding.

Yang ini tak apa lagi, ada yang lebih pelik, badan duduk atas kerusi roda pun masih nak dicalonkan. Padahal, mereka sudah diberi banyak penggal sebagai wakil rakyat. Tetapi tak rasa puas, tetap nak bertanding juga.

Sebenarnya ahli politik macam ini jenis yang telah dikuasai nafsu. Dia gagal mengawal akal dan asyik merasakan dirinya masih baik dan layak bertanding.

Inilah jenis yang sekali diberi peluang, mahu pegang selama-lamanya. Seperti tidak ada orang lain yang lebih layak darinya.

Jadi, selama ini jika ada ahli politik yang mengangkat dirinya sebagai berjiwa besar itu hanya palsu semata-mata. Ia hanya sebuah ungkapan yang dihafal untuk dilontarkan kepada orang lain, bukan untuk dirinya sendiri.

Inilah politik. Politik memang sukar untuk diramal dan dibaca, kerana politik juga hari ini kawan, esok boleh jadi musuh dan musuh pula boleh dijadikan kawan. Tempoh PRU14 sepatutnya mengajar kita untuk lebih memahami politik.

Contohnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seteru politik. Pada mata kasar kita beranggapan tidak mungkin mereka berdua akan berbaik. Tentulah dendam kesumat tebal dalam hati tetapi kerana politik mereka boleh duduk semeja.

Oleh itu, tidak ada mana-mana pemimpin politik berjiwa besar. Sesiapa sahaja terlibat dalam politik, automatik mereka adalah seorang yang retorik dan hipokrit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast