SUNGAI BULOH – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mengesahkan beliau tidak ada menandatangani akujanji yang mempunyai kepala surat logo UMNO seperti yang ditularkan sejak semalam di media sosial.
Sebaliknya, beliau hanya menandatangani akujanji dengan kepala surat logo BN yang perlu dilakukan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15).
“Akujanji yang tular itu kononnya ditandatangi oleh Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah adalah tidak betul kerana di atas letter head atau kepala surat itu tertera logo UMNO.
“Pertama kita bertanding atas tiket BN dan semua calon perlu tandatangan aku janji yang mempunyai letter head BN yang ada kaitan dengan lompat parti dan kesetiaan kepada parti.
“Saya tidak tanda tangan aku janji letter head UMNO seperti yang ditularkan dan calon PM kita tetapkan adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Full stop. Itu pendirian BN seperti yang telah diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Sungai Buloh hari ini.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menafikan wujudnya dokumen akujanji yang sedang tular, yang didakwa perlu ditandatangani calon UMNO dan BN yang bertanding pada PRU15.
Menerusi catatan difacebooknya hari ini, Shamsul Anuar menegaskan penyebaran dokumen palsu itu adalah usaha jahat pihak tidak bertanggungjawab dan jelas sebagai perancangan memburukkan UMNO dan BN ketika musim PRU.
“Disahkan bahawa akujanji yang disebarkan dan sedang viral ini adalah palsu dan tidak benar. Tiada sebarang akujanji sebegini dilakukan.
“Mohon rakyat Malaysia yang mendapat akujanji palsu ini tidak terpengaruh dengannya. Pihak saya amat kesal dengan permainan politik sebegini,” ujarnya. – MalaysiaGazette