KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta tidak memberi respon mengenai isu pelajar yang mendakwa dia disuruh oleh seorang guru kanan untuk melutut kerana salah pakai kasut.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta masyarakat memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Memandangkan isu ini dikatakan ada kaitan dengan kemiskinan, saya juga telah menggerakkan pasukan saya di lapangan untuk mendapatkan butiran lanjut.
“Ia agar kita boleh mengenalpasti sebarang bentuk bantuan yang perlu dan tindakan lanjut yang boleh kami usahakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Saiful yang juga calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Tasek Gelugor terpanggil untuk memberikan kenyataan berhubung laporan media hari ini mengenai seorang pelajar tingkatan 1 mendakwa dia disuruh oleh seorang guru kanan untuk melutut dengan mengangkat tangannya semasa perhimpunan sekolah, Selasa lalu.
Tindakan itu didakwa sebagai hukuman kerana memakai kasut dengan pengikat ‘velcro’.
Media turut melaporkan pelajar berkenaan turut mendakwa bahawa “kayiru” (tali suci) yang dipakainya dipotong.
Pelajar berusia 13 tahun itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Tasek Gelugor mengenai kejadian itu. – MalaysiaGazette