CAPTION: Tok Mat (tengah) hadir di Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Educity dekat Nusajaya malam tadi.

ISKANDAR PUTERI – “Saya tahu pukul 12 malam pada hari keputusan Johor mesti beri saya 20 kerusi.

”Macam mana nak bagi itu saya tidak mahu ambil tahu,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional ( BN ) Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Barisan Nasional (BN) Johor.

Mohamad optimis BN Johor mampu mencapai sasaran tersebut berdasarkan pencapaian besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan Mac lalu.

“Tidak boleh kurang dari 20 kerusi, saya mahu Johor memberi kita 20 kerusi untuk pastikan kita mampu tubuhkan kerajaan di Putrajaya nanti.

“Ini saya beri task kepada Datuk Hasni Mohammad supaya pastikan apa yang saya mahu tercapai, yang lain-lain saya tidak mahu ambil tahu.

“Macam mana nak dapatkan itu jangan tanya saya. Cukup masa saya mahu Johor sumbang 20 kerusi. Itu sahaja,” ucap beliau pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Educity dekat Nusajaya malam tadi.

Dalam pada itu beliau memberi amaran kegagalan BN Johor mencapai sasaran itu akan memberi kesan buruk terhadap sasaran komponen parti itu yang mahu menubuhkan kerajaan stabil di peringkat Persekutuan.

Nothing less than 20 (tidak boleh kurang daripada 20 kerusi). Ini pesanan saya pada Hasni (Pengerusi BN Johor) untuk bolehkan kita tubuhkan kerajaan Persekutuan.

“Lupakan dulu perkara remeh-temeh, fokus kepada kemenangan parti dahulu. Jangan tersangkut kaki sebab perkara kecil. Keutamaan kita untuk menang.

“Bagaimana cara nak menang 20 kerusi saya serah pada jentera BN Johor. Kita berserah pada Allah, berusaha gigih dan rajin-rajin, kita buktikan kita mampu di Johor,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor dan Pengarah Pilihan Raya Johor.

Johor adalah antara negeri sasaran utama kesemua parti politik berikutan mempunyai jumlah kerusi Parlimen kedua terbanyak di Malaysia dengan jumlah 26 kerusi. -MalaysiaGazette