Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar akan menamatkan perkhidmatannya dengan bank ini pada 31 Disember 2022.

Sehubungan dengan itu, beliau mula bercuti pada 1 November 2022 sehinggalah tamat tempoh perkhidmatan tersebut.

Berikutan itu, Bank Rakyat melantik Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak sebagai Pemangku Pengerusi berkuat kuasa 1 November 2022.

Mohd Irwan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 24 Julai 2020 dan beliau juga menganggotai pelbagai Jawatankuasa peringkat Lembaga Pengarah Bank Rakyat.

Abdul Rani mula dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat sejak 1 Januari 2018 dan pada 28 Julai 2020, beliau memangku jawatan Pengerusi Bank Rakyat dan kemudiannya menyandang jawatan tersebut pada 1 Januari 2021.

Beliau dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pengurusan KUSKOP, Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat, pihak berkepentingan serta seluruh anggota dan pelanggan yang telah memberi sokongan semasa beliau menerajui bank ini, terutamanya ketika berhadapan dengan kemelut pandemik Covid-19.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abdul Rani atas sumbangan, khidmat bakti dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. – MalaysiaGazette