Datuk Rozabil Abd Rahman

KANGAR – Calon baharu Barisan Nasional (BN) di Parlimen Arau Datuk Rozabil Abd Rahman menganggap penyandang kerusi itu, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai guru yang banyak berjasa kepadanya, dan tidak pernah tersisip niat untuk beliau mencabar, apatah lagi untuk menderhaka terhadap gurunya itu.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini, bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian  Arau itu berkata beliau juga tidak mahu dilabel sebagai ‘perampas’ kerusi panas berkenaan, sebaliknya hanya akur kepada keputusan yang dibuat oleh BN pusat yang meletakkan nama beliau sebagai calon di kawasan parlimen itu.

“Saya maklum bahawa tugas yang diberikan ini amat berat, lebih-lebih lagi Datuk Seri Shahidan telah menyatakan hasrat untuk bertanding di Arau.

“(Tetapi) saya tidak pernah memasang niat untuk mencabar Shahidan apatah lagi ‘derhaka’ kepada guru yang banyak mengajar saya dalam tentang selok belok politik dan pentadbiran,” katanya.

Rozabil yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Politik Shahidan berkata sebelum dicalonkan beliau terlebih dahulu menghubungi Shahidan bagi memohon restu dan meminta bantuan beliau bagi memastikan kemenangan kekal menjadi milik BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Rozabil yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia Kuala Lumpur (BSKL) berkata beliau akan bersaing secara sihat dan mengelak daripada sebarang konfrontasi bagi mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

“Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik demi memastikan bahawa Arau terus menjadi kubu BN,” katanya.

Pada PRU14, Shahidan menang dengan majoriti 4,856 undi mengalahkan calon PH-PKR Datuk Dr Abd Rahman Daud dan calon PAS Datuk Hashim Jasin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRU15, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 Nov.

— BERNAMA


1 Komen

  1. Alhamdulillah…. Ini betul2 sikap seorang panglima…Sikap mcm ni menambah hormat dari kawan dan juga lawan…T. Kasih Dato’ Seri Panglima…

Comments are closed.