Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Seramai 35 mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan warganegara Malaysia di Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air semalam.

Mereka tiba menerusi dua kumpulan iaitu 28 mangsa melalui penerbangan MH755 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2 petang dan tujuh lagi melalui penerbangan AK539 di KLIA2 pada jam 5.35 petang.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini adalah kejayaan terbesar kementeriannya membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket tersebut melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh.

Katanya, sehingga semalam, daripada 220 kes jenayah penipuan penawaran pekerjaan di negara itu yang dilaporkan, semua mangsa telah dibawa pulang.

“Setakat ini, tiada mangsa yang berada dalam depoh tahanan imigresen negara itu.

“KLN (Kementerian Luar Negeri) akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia membantu mangsa apabila dilaporkan dan memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut beliau, KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Laos, Myanmar dan Thailand terus menggiatkan usaha untuk mengesan dan menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket di negara berkenaan.

Kata Saifuddin, daripada keseluruhan 459 laporan yang diterima KLN, seramai 324 mangsa berjaya diselamatkan.

Ini termasuk 20 mangsa yang berada dalam depoh tahanan imigresen di tiga negara berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di tiga negara ini dengan kerjasama kerajaan negara berkenaan masih giat mengesan seramai 135 lagi yang dilaporkan sebagai mangsa.

“Kami di KLN merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Kemboja yang sentiasa memberikan bantuan dan kerjasama terbaik bagi membolehkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini dibawa pulang.

“Selain itu, penghargaan juga dizahirkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan wakil media tempatan di atas kerjasama erat yang diberikan dalam urusan kepulangan mereka,” katanya.

Beliau menasihatkan warganegara Malaysia sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara terutama melalui platform sosial media.

Katanya, mereka boleh berhubung dengan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung tawaran kerja.

“Mereka juga dinasihatkan segera membuat laporan kepada PDRM dan KLN sekiranya ada antara ahli keluarga yang terjebak dalam sindiket tersebut untuk bantuan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette