NEW YORK – Elon Musk akan memulakan pemberhentian pekerja secara besar-besaran di Twitter pada hari ini untuk mengurangkan tenaga kerja platform media sosial itu.
Menerusi e-mel yang dihantar kepada pekerja semalam, mereka akan menerima notis pada jam 12 tengah hari ini yang memberitahu tentang status pekerjaan masing-masing.
Twitter menerusi e-mel kepada pekerja memberitahu, pekerja yang tidak terjejas akan dimaklumkan melalui e-mel syarikat sementara bagi mereka yang diberhentikan akan menerima e-mel melalui akaun peribadi mereka.
Syarikat media sosial itu berkata, pengurangan tenaga kerja itu adalah usaha untuk meletakkan Twitter di jalan yang sihat dan firma itu akan ditutup sementara dan akses lencana akan digantung.
“Kami akan melalui proses sukar untuk mengurangkan tenaga kerja global kami pada hari Jumaat.
“Kami menyedari ini akan memberi kesan kepada beberapa individu yang telah memberikan sumbangan berharga kepada Twitter, tetapi tindakan ini perlu untuk memastikan kejayaan syarikat bergerak ke hadapan,” kata Twitter dalam e-mel.
Memo itu dibuat selepas laporan berita bahawa Musk merancang untuk memberhentikan sehingga separuh daripada kakitangan syarikat itu selepas membeli Twitter bernilai AS$44 bilion minggu lalu.
Musk memulakan khidmatnya di Twitter dengan memecat Ketua Pegawai Eksekutif, Parag Agrawal dan dua eksekutif lain.
Dalam masa kurang dari seminggu sejak Musk memperoleh syarikat itu, C-suitenya dibersihkan hampir sepenuhnya dengan memecat pekerja dan peletakan jawatan.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu turut membubarkan bekas lembaga pengarah Twitter. -Agensi