Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau persiapan bilik gerakan Barisan Nasional P.090 Bera di Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2022.

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mahu agenda memastikan kemenangan BN menjadi fokus utama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Beliau berkata, konflik kecil yang mungkin timbul di sesetengah bahagian akar umbi malah Parlimen, menjelang Hari Penamaan Calon esok adalah perkara yang biasa terjadi.

“Ini merupakan perkara biasa setiap kali pilihan raya, negeri ke PRK ke, Pilihan Raya Umum sekali pun, memang akan ada isu yang timbul di kawasan Parlimen dan sebagainya,” katanya selepas membuat kunjungan dan melihat persediaan di Pusat Operasi BN Bera di Padang Luas, di sini hari ini.

Beliau mengulas berkenaan penyokong penyandang kerusi BN yang terkesan selepas pemimpin mereka digugurkan daripada pencalonan PRU15.

Menjawab soalan itu, Ismail Sabri berkata, dalam apa situasi pun parti adalah penting.

“Saya pernah sebut dahulu, tidak semua yang akan bertanding, walaupun di setiap kawasan Parlimen semuanya layak untuk bertanding. Tapi yang terpilih hanya seorang sahaja.

“Oleh itu, kita fokus kepada untuk memastikan kemenangan parti,” ulasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan provokasi yang boleh menimbulkan perbalahan ketika Hari Penamaan Calon esok.

Ribuan penyokong semua parti yang bertanding pastinya akan berkumpul esok untuk menghantar calon wakil rakyat mereka, justeru katanya, semua harus menjaga batas dan hormat menghormati antara satu sama lain.

“Jadi esok hanyalah hari pertama penamaan calon. Janganlah hanya disebabkan provokasi tersebut, berlaku pergaduhan dan sebagainya,”katanya.

Mengulas mengenai persediaan jentera parti, beliau memberitahu jentera BN di Bera telah bersedia lebih awal untuk menghadapi PRU 15.

Bagi PRU kali ini, Ismail Sabri bakal berdepan calon daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abas Awang (PKR) dan Ketua Bahagian Bersatu Bera, Asmawi Harun yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Ismail Sabri yang menyandang kerusi Bera sejak 2004 menang di kerusi tersebut pada PRU 14 dengan 20,760 undi menewaskan Zakaria Abdul Hamid (PKR) yang memperoleh 18,449 undi manakala Pas dengan 8,096 undi.- MaysiaGazette