Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique ketika menandatangani plug galeri uniti Keluarga Malaysia semasa melancarkan Program Galeri Uniti Keluarga Malaysia Anjuran Kementerian Perpaduan Negara di Berjaya Times Square Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara komited dalam mengeksplorasi tapak-tapak integrasi penyatuan Keluarga Malaysia dan momen-momen itu dihimpunkan dalam bentuk sebuah galeri.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, dikenali Galeri UNITI Keluarga Malaysia, program itu diharapkan dapat menjadi platform penghayatan terhadap kepelbagaian seni, budaya dan adat resam yang menjadi amalan masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau berkata, program yang menghimpunkan detik-detik perpaduan itu merupakan edisi kedua yang dianjurkan oleh Kementerian pada tahun ini.

“Edisi pertama telah diadakan pada 29 September sehingga 9 Oktober lalu yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk AEON BiG (M) Sdn. Bhd., Pasaraya Econsave, Pasaraya Cmart, dan pejabat-pejabat kerajaan negeri.

“Edisi kali ini diadakan selama 3 hari bermula pada hari ini hingga Ahad dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikian Program Galeri UNITI Keluarga Malaysia di Berjaya Times Square.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique ketika bergambar bersama penari kebudayaan pada Program Galeri Uniti Keluarga Malaysia Anjuran Kementerian Perpaduan Negara di Berjaya Times Square Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 NOVEMBER 2022.

Pada majlis yang sama, kementerian turut menyampaikan sijil Rakan Strategik kepada Berjaya Times Square Management Corporation dalam usaha memperluas jalinan kerjasama agensi awam dan swasta.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, peranan menggalas aspirasi perpaduan nasional adalah tanggungjawab merentasi pelbagai organisasi.

Sementara itu, beberapa pengisian utama telah dijadualkan sepanjang program berlangsung merangkumi aktiviti-aktiviti seperti Pameran Rumah KAMI yang merupakan pengenalan terhadap variasi budaya di Malaysia.

Ia bagi membuka ruang kepada pengunjung mengenali dan memahami adat resam bangsa lain di samping dapat menyemai sikap hormat-menghormati antara kaum.

Turut disediakan galeri Citarasa Menu Keluarga Malaysia Segmen yang menampilkan keunikan makanan tradisi beridentitikan kepelbagaian kaum yang boleh dirasai sendiri oleh setiap pengunjung.

Tidak dilupakan persembahan budaya pelbagai etnik Keluarga Malaysia yang akan dipertontonkan beserta pertunjukan busana indah setiap kaum.

Pengunjung juga didedahkan dengan Permainan Sukan Rakyat tradisional seperti teng-teng, yo-yo cina, dam aji dan lain-lain. – MalaysiaGazette

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique ketika berucap pada Program Galeri Uniti Keluarga Malaysia Anjuran Kementerian Perpaduan Negara di Berjaya Times Square Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 NOVEMBER 2022.