Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan penerima-penerima Peranti Siswa selepas Majlis Penyerahan Peranti Siswa di UiTM Sungai Buloh, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Khairy Jamaluddin akan mencadangkan Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia diteruskan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bahkan, calon Parlimen Sunagi Buloh itu berkata, pemberian gajet itu perlu diberikan kepada semua mahasiswa kerana ia penting dalam sesi pembelajaran kerana penggunaan platform digital seiring dengan peredaran zaman.

Menurutnya, perkara itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri.

“Ini bukan janji manis, saya nak bagi tahu apa yang saya cadangkan. Kalau berjaya kita membentuk kerajaan, kita pastikan program peranti siswa ini dikekalkan kepada semua pelajar setiap tahun.

“Baru ini saya pergi ke kampus UITM Seremban dan waktu saya beramah mesra dengan pelajar yang mahu dapatkan tablet,  kebanyakan memberitahu mereka tiada tablet. Kalau ada pun memang dah usang.

“Bagi kes-kes yang jual tablet ini, saya rasa tak ramai. Mungkin segelintir yang tidak bertanggungjawab dan saya yakin dalam dewan ini semua akan pakai tablet dan tidak akan jual.

”Saya rasa peranti ini akan banyak membantu penerima,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di UITM Sungai Buloh, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bergambar kenangan bersama warga UITM Sungai Buloh dan penerima-penerima Peranti Siswa selepas Majlis Penyerahan Peranti Siswa di UiTM Sungai Buloh, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2022.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan menambah, peranti bukan lagi digelar sebagai kategori barangan mewah tetapi ia adalah alat keperluan bagi golongan siswazah dan pelajar terutama golongan B40.

Jelasnya, walaupun negara sudah menarik Perintah Kawalan Pergerakan tetapi banyak kerja kursus mahasiswa masih dibuat secara atas talian.

Oleh itu, gajet ini sudah menjadi keperluan semua.

“Bila kita buat survei golongan T20 dan M40 dah ada. Jadi kita buat keputusan untuk  beri kepada semua pelajar dalam fakulti, jadi semua meeting, webinar online pakai peranti.

”Saya kesian kepada pelajar-pelajar terpaksa pinjam handphone ibu bapa dengan size skrin kecil.

“Jadi kalau kita nak bercita-cita nak jadi negara 5G, kita kena beri. Kalau kita jadi kerajaan, kita akan beri kepada semua mahasiswa.” ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada UITM Sungai Buloh turut tersenarai atau tidak dalam manifestonya pada pilihan raya ini, Khairy berkata, ia termasuk dan akan diumumkan minggu hadapan.

“Sudah pasti ia (UITM Sungai Buloh) temasuk dalam manifesto saya kerana mengambil kira universiti ini ada fakuliti pergigian dan perubatan.

“Ia adalah selaras dengan jawatan yang saya pegang ketika ini sebagai Menteri Kesihatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast