KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengenal pasti empat kawasan panas ibu negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan membuat pemantauan terhadap aktiviti yang boleh mencetuskan provokasi melampau serta mengganggu gugat ketenteraman awam.
“Polis Kuala Lumpur telah mengenal pasti empat lokasi kes perselisihan faham, pertengkaran mulut melibatkan dua komuniti berbeza yang berlaku dalam tempoh Januari hingga Oktober ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, beliau mengingatkan mereka yang terlibat berkempen supaya melakukannya dengan berhemah dan tertib, selari dengan peraturan yang ditetapkan.
Sementara itu, Azmi memberitahu, pihaknya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti 57 lokasi yang sering berlaku kejadian banjir kilat di ibu kota dan persediaan telah dilakukan bagi memastikan PRU15 berjalan lancar.
Tambah beliau, persiapan rapi mengikut fungsi dan tugas telah dibuat bersama agensi berkenaan agar tindakan pantas dapat diambil. – MalaysiaGazette