Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli

KUALA LUMPUR – NGO Anak Pahang hari ini mengkritik tindakan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib yang bertindak bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, tindakan Ismail itu hanya mementingkan diri sendiri dan masih mabuk kuasa.

“Sikapnya lebih kepada ‘play safe’ demi kepentingan dirinya semata-mata. Matlamatnya adalah demi kuasa.

“Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) berpandangan keputusan Ismail bertanding semula atas tiket PN tidak akan menggugat sokongan rakyat kepada BN di Parlimen Maran,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut,  Haslihelmy berkata, beliau tidak terkejut dengan tindakan Ismail memandangkan penyandang kerusi Parlimen Maran itu cenderung kepada PN.

“Saya sebagai bekas pegawai kepada timbalan menteri berkenaan sememangnya tidak terkejut dan hairan dengan tindakan Ismail.

”Sememangnya umum dapat melihat tindak tanduk Ismail sewaktu beliau di dalam Kabinet kerajaan khususnya sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Semalam PN, menerusi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ismail  akan dikekalkan sebagai calon di kerusi itu, namun  bertanding atas tiket PN.

Ismail  antara 11 pemimpin UMNO yang digugurkan daripada bertanding pada Pilihan Raya Ke-15. – MalaysiaGazette