Johari Abdul Ghani (tengah) ketika menyerahkan borang pencalonannya di Pusat Penamaan Calon di SMK Aminuddin Baki pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja boleh menjadi wakil rakyat di Parlimen Titiwangsa tetapi pengundi perlu membuat kajian terlebih dahulu supaya tidak tersalah pilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau tidak mahu pengundi-pengundi di kawasan itu menghadapi situasi ‘pisang berbuah dua kali’.

“Sesiapa saja boleh bertanding, boleh tawar perkhidmatan kepada rakyat tetapi akhirnya tidak ada calon pun yang boleh memaksa pengundi mereka

“Yang penting pengundi perlulah menjalankan sedikit penyiasatan dari segi siapa calon, tengok trek rekod, latar belakang dia dalam proses memilih wakil rakyat, kita bukan pilih menteri. Jadi rakyat kena tahu bila nak pilih,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, di sini, hari ini.

Johari berkata, walaupun beliau tewas pada PRU14 tetapi perkhidmatannya buat penduduk Parlimen Tittiwangsa tetap diteruskan sehingga hari ini.

Lantaran itu, beliau membayangkan faktor itu akan memberi kelebihan buatnya untuk merampas kembali kerusi tersebut yang dahulunya dimenangi Pakatan Harapan (PH) menerusi Datuk Seri Rina Harun yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang bertanding di Parlimen Sepang.

“Beza antara pilihan raya lalu dengan pilihan raya kali ini, saya tak pernah berhenti berkhidmat di kawasan walaupun saya bukan wakil rakyat selama empat tahun enam bulan. Saya terus bekerja dan adakan libat urus dengan masyarakat melalui Yayasan Bena Nusa milik saya, pada saya tiada beza.

“Yang membezakan hanyalah jika menang, saya boleh menyumbang pada skala lebih besar dengan menggunakan pengalaman saya kepada kerajaan persekutuan,” ujarnya.

Parlimen P119 Titiwangsa menyaksikan pertarungan antara Johari, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang), Dr Rosni Adam mewakili Perikatan Nasional (PN) serta Khalid Abdul Samad mewakili Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette