Loh Kah Yong (kiri), Salahuddin Ayub dan Nur Jazlan Mohamed bergambar selepas proses penamaan calon selesai.

JOHOR BAHRU- Pencalonan Parlimen Pulai menyaksikan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) pada 19 November ini.

Penyandang kerusi Parlimen Pulai yang juga Pengerusi PH Johor, Datuk Salahuddin Ayub akan menentang Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN) dan Loh Kah Yong (PN).

Tiada calon bebas hadir sepanjang proses penamaan calon yang berlangsung selama satu jam di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, pertembungan tiga penjuru lebih memudahkan rakyat untuk memilih Ahli Parlimen mereka.

Dengan keputusan itu, katanya, jangkaan beliau kerusi ini akan menyaksikan pertembungan enam penjuru meleset sama sekali.

“Saya rasa ini pertandingan menarik dan mudah untuk rakyat, kita jangkakan lebih lima atau enam penjuru, ada nama Deepak yang dikatakan akan datang ke sini untuk bertanding, akhirya tiga penjuru.

“Rakyat di Pulai kenal kami, kita pulangkan mandat kepada rakyat untuk menilai,” katanya.

Sementara itu calon Perikatan Nasional (PH) bagi Parlimen Pulai yang sepatutnya ditandingi J.R Deepak Jaikishan seperti yang diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diganti dengan individu lain.

PH menggantikan calon Gerakan iaitu Ahli Perniagaan, Loh Kah Yong, 48.

Difahamkan Deepak Jaikishan bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Klang, Selangor.

Sementara itu, Kah Yong berkata, dia mendapat tahu keputusan akhir Majlis Tertinggi PN untuk meletakkannya sebagai calon Parlimen Pulai pada tiga hari lalu.

“Saya terkejut dengan keputusan ini tetapi sangat berbesar hati. Ini keputusan akhir dari Majlis Tertinggi PN, saya sudah diberi mandat, jadi hari ini saya datang bersama jentera parti.

“Walaupun bertanding menentang nama besar iaitu Salahuddin dan Nur Jazlan, kita akan usaha sedaya upaya dan berharap penduduk Pulai beri peluang kepada PN supaya kita dapat membentuk kerajaan yang berintegriti dan stabil,”katanya.

Kah Yong sebelum ini pernah menjadi calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Johor yang lalu.-MalaysiaGazette