Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan persaingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

BERA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan persaingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pegawai Pengurus SPR Bera, Datuk Zaman Azam dalam pengumumannya hari ini memberitahu tiada borang pencalonan yang ditolak selepas penelitian dibuat ke atas semua dokumen yang diterima daripada tiga calon yang hadir ke pusat berkenaan.

Beliau memaklumkan SPR menerima pencalonan Datuk Asmawi Harun (PN) pada pukul 9.03 pagi manakala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu menghantar borang pencalonan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada pukul 9.08 pagi.

Sementara itu katanya calon PH, Abas Awang yang diiringi Norazlan Zain sebagai pencadang dan Rahmat Zainudin sebagai penyokong masuk ke PPC pada jam 9.13 pagi.

Dalam pada itu, Zaman turut memaklumkan telah menolak kertas pencalonan daripada calon (PH-PKR) iaitu Manolan Mohamad bagi DUN Kemayan, sekaligus menjadikan pertembungan dua penjuru di daerah itu diantara Khaizulnizam Muhamad Zuldin (BN-UMNO) dan Shapuan Hussin (PN-Pas)

Di Guai, kemunculan seorang calon bebas, Jafari Mohd Yusof menjadikan persaingan empat penjuru antara Datuk Sabariah Saidi (BN-UMNO), Nor Hashimah Mat Nor (PN-Bersatu) dan Noraini Abdul Ghani (PH-Amanah).

Penyandang kerusi DUN Triang, Leong Yu Man (PH-DAP) pula bakal bersaing dengan Muhammad Izzuddin Zulkifli (PN-Bersatu) dan Yee Cheng Hwa (BN-MCA).

Untuk rekod, Ismail Sabri yang menyandang kerusi Bera sejak 2004 menang di kerusi tersebut pada PRU 14 dengan majoriti undi sebanyak 2,311 menewaskan Zakaria Abdul Hamid (PKR) yang memperoleh 18,449 undi manakala Musaniff Abd Rahman (Pas) hanya memperoleh 8,096 undi. – MalaysiaGazette