Calon Barisan Nasional P.098 Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din bersorak bersama para penyokong selepas selesai menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan SMK Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 05 NOVEMBER 2022.Zulkifli Ahmad

GOMBAK – Misi Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi P098 Gombak daripada Pakatan Harapan (PH) bukan perkara mustahil untuk dicapai, apatah lagi parti itu masih mempunyai pengundi yang masih dianggap simpanan tetap.

Calon BN, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, keadaan itu pernah berlaku apabila masyarakat tidak pernah terfikir apabila BN boleh ditumbangkan selepas lebih 60 tahun memerintah negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tiada apa yang mustahil, tak ada orang pernah fikir BN boleh kalah dalam PRU14 dan tidak mustahil juga BN boleh kembali sebagai kerajaan.

“Apa sahaja tidak mustahil dalam politik, sangat dinamik, politik tentang angka dan ia sangat dinamik.

“BN konsisten beri perkhidmatan dan kita ada penyokong, pengundi akan tetap bersama dengan BN dalam apa juga keadaan sekali pun,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Timbalan Pengerusi BN Selangor itu menghantar borang pencalonan sebagai pencabar penyandang Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Pusat Penamaan Calon Parlimen Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini, pagi tadi.

Sebelum itu, Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Gombak, Nor Azlina Abd Aziz mengumumkan kerusi P098 bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.

Selain Megat Zulkarnain, tiga pencabar Mohamed Azmin ialah Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; calon Gerakan Tanah Air (GTA), Aziz Jamaludin Mhd Tahir dan seorang calon bBebas selaku Penaja Parti Bahtrea Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain tidak menafikan dua nama besar yang juga berstatus menteri tidak boleh dipandang rendah, namun keajaiban boleh berlaku jika selari dengan gerak kerja BN sejak 2018.

“Bukan mudah, kita mesti akui itu, saya tak mahu terlalu yakin, tak mahu angkuh, sombong.

“Tetapi ianya tidak mustahil, bukan satu misi yang mustahil, kita boleh lihat, kita boleh buat perkiraan nanti.

“Kita mesti buktikan dengan gerak kerja dan manifesto yang akan kita umumkan sehari dua lagi Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette