Datuk Seri Hazani Ghazali . Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat individu kerana melakukan jenayah dan kesalahan berkaitan pilihan raya pada hari pertama berkempen, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negara dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sebanyak tiga tangkapan dilakukan di Sarawak dan satu Selangor.

“Kesemua kes diambil tindakan dan disiasat lanjut di bawah Seksyen 500, Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Hazani, kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 24(A)(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 143(1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Beliau yang merupakan Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) PDRM memberitahu, pihaknya mengesan 19 ceramah politik diadakan tanpa permit polis dan daripada jumlah itu sebanyak 11 kes dikesan di Selangor diikuti Perak (5), Terengganu (2) dan Pahang (1) pada hari pertama berkempen

Dalam pada itu, katanya, polis juga membuka lapan kertas siasatan berkaitan perlanggaran peraturan dan kesalahan di bawah Akta Pilihanraya, Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Kanun Keseksaan.

Katanya, daripada lapan kertas siasatan itu, masing-masing dua kertas siasatan dibuka oleh polis di Selangor dan Sarawak dan masing masing satu kertas siasatan dibuka di Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Sabah.

Sementara itu, polis telah mengeluarkan sebanyak 289 permit untuk berceramah semalam yang mana sebanyak 52 permit dikeluarkan di Perak diikuti Johor (47), Selangor (32), Kedah (29), Sabah (28), Sarawak (22), Pulau Pinang (18), Negeri Sembilan (15), masing-masing 14 permit dikeluarkan di Melaka dan Pahang, Perlis (3) dan Kuala Lumpur (2). – MalaysiaGazette