Pekerja buruh melakukan kerja-kerja pembinaan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto Arkib MalaysiaGazette

INDEKS kebahagiaan Malaysia dibangunkan untuk mengukur tahap kebahagiaan di Malaysia merangkumi pelbagai aspek iaitu fizikal, sosial, emosi dan rohani. Ukuran indeks kebahagiaan ini ditentukan berdasarkan tahap paling rendah iaitu 0 sehingga tahap paling tinggi iaitu 10 dan mempunyai lima kategori skala iaitu, bermula 0.00-2.00 (paling tidak bahagia), 2.01-4.00 (tidak bahagia).4.01-6.00 (sederhana bahagia), 6.01-8.00 (bahagia) dan 8.01-10.00 (sangat bahagia).

Dalam satu kajian mengenai kebahagian di Malaysia, terdapat lebih ramai responden mengatakan bahawa mereka bahagia secara umumnya berbanding dengan responden yang menyatakan tidak bahagia. 47 peratus daripada responden menyatakan mereka agak bahagia manakala hanya 5.0 peratus menyatakan mereka sangat bahagia. Pada tahun 2021, indeks kebahagian di Malaysia berada pada tahap bahagia iaitu dengan skor 6.48. Komponen keluarga menyumbang skor indeks yang paling tinggi, diikuti komponen agama dan rohani, iaitu dengan skor 7.21, dan kesihatan (6.75).

Selain itu, komponen lain seperti komponen pekerjaan memperolehi skor 6.31 dan komponen pendapatan mencatat skor sebanyak 6.04. Terdapat 44 peratus daripada responden menyatakan mereka mencapai tahap paling bahagia apabila mereka mempunyai pekerjaan yang bermakna. Banyak faktor yang menyumbangkan kepada keadaan tersebut antaranya ialah hubungan sosial dengan rakan sekerja dan majikan. Hubungan rakan sekerja memainkan peranan penting di tempat bekerja kerana ia boleh menentukan samada seseorang itu bahagia untuk bekerja.

Kebanyakan tempoh waktu bekerja akan diluangkan bersama rakan sekerja. Rakan sekerja yang bersifat menyokong dan prihatin akan membuatkan seseorang itu berasa selesa sekali gus dapat mengurangkan tekanan atau kebimbangan di tempat kerja. Namun selain daripada itu, faktor luaran juga perlu dipandang serius kerana ia juga boleh memberi kesan negatif terhadap indeks kebahagiaan di Malaysia. Antaranya ialah cabaran ekonomi yang tidak menentu seperti kenaikan kos sara hidup memberi tamparan hebat kepada pekerja tertutamanya mereka yang berkerja kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang.

Kebanyakan mereka terpaksa berhempas pulas melakukan dua pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ini akan memberi tekanan hidup sekali gus memberi kesan negatf terhadap kebahagian mereka kerana terpaksa menghabiskan masa mereka untuk mencari wang demi memberi kebahagian kepada orang lain iaitu ahli keluarga mereka.

Mursyidi Mohammad,
Dr Khairun Nisa’ Khairuddin &
Prof Madya Dr Ummi Naiemah Saraih
Centre of Excellence for Social Innovation & Sustainability
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis