Gambar hiasan

SHAH ALAM – Dua individu ditahan polis secara berasingan dekat Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, Kedah dan Triang, Pahang kerana disyaki merosakkan bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam kejadian semalam.

Kedua-dua suspek itu dikenalpasti warga tempatan tanpa lingkungan umur dan identiti sebenar didedahkan polis.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kedua-dua suspek yang ditahan kini sedang disiasat dibawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Seksyen 427 kerana khianat yang memperuntukkan penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua suspek juga disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda jika disabitkan kesalahannya.

“Manakala di Pahang, suspek adalah individu yang merosakkan papan tanda dan poster Pakatan Harapan di lampu isyarat, dekat simpang masuk ke Bandar Triang,” katanya dalam kenyataan hari ini..

Terdahulu Hazani mengesahkan dua individu ditahan dan tiga kertas siasatan polis telah dibuka berhubung kesalahan dilakukan semasa hari kedua tempoh berkempen bagi PRU15 di seluruh negara. – MalaysiaGazette