MADRID – Empat orang maut dan empat lagi cedera parah awal Ahad selepas sebuah kereta merempuh tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan di Sepanyol selepas bergaduh.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan tiga suspek dan sedang mencari individu yang keempat berhubung insiden maut itu.
Pergaduhan tercetus pada awal pagi di hadapan sebuah restoran yang menganjurkan majlis perkahwinan di Torrejon de Ardoz, kira-kira 25 kilometer (16 batu) timur laut Madrid.
Selepas pertikaian itu, sebuah kereta merempuh tetamu perkahwinan dan kemudian memecut laju.
“Apabila kami tiba di tempat kejadian, kami mendapati empat orang telah meninggal dunia akibat beberapa patah tulang,” kata Carlos Polo, ketua perkhidmatan kecemasan Madrid.
Empat lagi yang cedera telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Polis berkata, kereta itu berjaya dipintas 50 kilometer dari tempat kejadian sejam kemudian di Toledo.
Tiga penumpangnya ditahan termasuk seorang lelaki berusia 35 tahun dan dua anaknya.
Suspek keempat sedang diburu. – Agensi