MACC logo Seri Iskandar airport land sales Perak
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menjanjikan pelantikan jawatan utama seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilakukan melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terbabit dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini.

Tegas beliau, BN juga nekad memastikan amalan politik di negara ini dihidupkan hanya dengan cara yang bertanggungjawab dan telus melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik.

“Perancangan Amal dan Usaha atau PADU adalah satu penggandaan usaha untuk kita meletakkan asas-asas penting untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua.

“Proses pembinaan negara yang berjaya dan masyarakat yang sejahtera adalah tugas dan tanggungjawab yang mengambil masa.

“Sesetengah kudrat dan keringat yang kita tumpahkan, hanya akan menampakkan hasil sedekad dari sekarang. Atau pada satu tempoh yang lebih lama. Atau mungkin pada suatu ketika yang tidak sempat pun untuk kita sendiri saksikan hasilnya.

“Akan tetapi, itu tidak bermakna kita tidak harus berusaha dari sekarang. Masa depan yang baik untuk semua harus dimulakan dari sekarang,” katanya ketika membentangkan Manifesto BN dikenali Perancangan Amal dan Usaha (PADU) secara maya, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, bagi menjamin masa depan, Malaysia juga mesti lestari dan selamat, BN akan menghapuskan semua permit import atau AP untuk semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses yang lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.

“Dan kita juga akan berusaha menambah litupan kawasan berhutan negara kepada 60 peratus keluasan dengan kerjasama kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette