KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan di Twitter yang mengatakan sebuah kereta peronda memotong barisan di sebuah kedai mencuci kereta dekat Pantai Dalam, di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan dakwaan tular itu jam 12.46 tengah hari tadi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kereta peronda yang dinaiki anggota dari Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur telah pergi premis itu untuk mencuci kenderaannya.
“Setibanya di lokasi, anggota berkenaan meletakkan kereta di bahagian belakang kedai dan menunggu gilirannya.
“Anggota polis terbabit tidak memotong barisan sebaliknya pekerja kedai terbabit yang meminta kereta peronda berkenaan untuk dicuci dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, setelah kenderaan dicuci, anggota polis itu telah membuat bayaran dan beredar untuk meneruskan penugasan rondaan.
“Adalah ditegaskan bahawa pihak IPD Brickfields tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan mereka yang bersalah akan diambil tindakan tegas.
“Sebarang meklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.- MalaysiaGazette