KULAI – Pengundi-pengundi di parlimen Kulai mendambakan wakil rakyat yang mampu merangsang kemajuan di kawasan itu kerana potensinya cukup besar sejajar pelan pembangunan yang dirancang sebelum ini.
Serentak itu, penduduk Kulai berharap ada pemimpin baharu yang boleh menggalas tugas dan tanggungjawab itu.
Seorang penduduk, Mohd Kamal Ulum Morsin berkata, Kulai sebenarnya merupakan lokasi terbaik untuk golongan muda berhijrah kerana di sini menawarkan peluang pekerjaan.
Mungkin ramai yang tidak sedar atau tidak tahu bahawa Kulai telah mewujudkan industri kilang.
“Kalau ada yang nak berhijrah dan cari tempat bekerja, di sinilah lokasinya. Kulai sekarang adalah sebuah daerah yang sedang membangun.
“Di sini banyak pusat perindustrian baharu yang bakal dibuka dan sekarang sedang meletup dengan Senai Airport City dan baru-baru ini Menteri Besar juga telah umumkan RM69 bilion kemasukan pelaburan di Kulai,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kerancakan Kulai ini bagaimanapun perlu diseimbangkan dengan pemimpin yang betul supaya pembangunan dapat dipimpin dengan baik terutama dalam aspek keperluan untuk meningkatkan infrastruktur perumahan mampu milik dan pendidikan, khususnya.
Kamal berkata, jika Kulai ini dijadikan hab pendidikan, kemajuan daerah ini lebih cepat dicapai.
”Kulai belum ada institusi awam yang memang betul di daerah Kulai.Tiada kolej kemahiran, tiada sekolah asrama penuh.MRSM jauh sekali.Jadi harap dapat dikembangkan ke arah itu,” cadangnya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Satheesh Rameswaran, 32, mengakui Kulai sudah mengalami perubahan berbanding dulu terutamanya dari segi kemudahan pengangkutan awam.
Namun, menurutnya, kemudahan-kemudahan lain perlu terus dimajukan dan diperkasakan kerana Kulai berpotensi menjadi bandar maju jika pembangunan di sini terus rancak.
“Saya berharap kemudahan dan infrastruktur terus dibuat dan dimajukan demi keselesaan penduduk di sini,” ujarnya.
Sementara itu, aktivis masyarakat Md Rohiemi Tahir pula gusar dengan kewujudan pekerja asing yang terlalu ramai di sini kerana menyebabkan kebersihan diabaikan.
Keadaan ini berlaku kerana penempatan pekerja asing ini tidak berpusat sehingga tiada pengawasan terhadap tingkah-laku mereka.
“Di sini memang terlalu banyak penempatan warga asing dan mereka membawa budaya masing-masing sehingga timbul masalah kebersihan. Sakit mata memandang.
“Saya berharap kerajaan negeri melihat isu ini sesuatu yang serius. Wujudkan asrama khas supaya mereka ni dapat dikawal, ajar mereka tentang kebersihan,” tambahnya.
Rohiemi percaya jika isu-isu sosial ini diberi perhatian oleh pemimpin, Kulai akan berkembang sebagai sebuah daerah maju dan berketrampilan. – MalaysiaGazetet