Polis Johor menunjukkan barang rampasan hasil serbuan terhadap sindiket dadah yang didalangi dua beranak semasa sidang media di IPK Johor, hari ini.

JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dan pembungkusan ganja yang didalangi dua beranak tumpas dalam empat serbuan berasingan di sekitar Johor Bharu dan Ulu Tiram, Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima individu lain termasuk dua wanita tempatan berusia 18 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor itu berjaya merampas 216 ketulan mampat ganja seberat 216 kilogram dengan nilai keseluruhan RM540,257.

Turut dirampas 13.11 gram ketamin bernilai RM1,966 dan 12.01 gram pil ekstasi (RM450).

“Seketul ganja yang mempunyai berat 900gram hingga 1 kilogram berharga RM2,500 dalam pasaran. Sekiranya terlepas, dadah ini boleh digunakan oleh seramai 216,199 penagih,” katanya pada sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, kira-kira jam 10 malam Khamis lalu, pihak polis telah menahan dua lelaki di tepi jalan di kawasan Johor Bharu.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihaknya berjaya melakukan serbuan pertama di sebuah pangsapuri serta menahan empat individu dan merampas sejumlah kecil dadah.

“Seterusnya pada jam 1.45 pagi pada 4 November, pihak polis telah melakukan serbuan ke kawasan perumahan di Bandar Tiram, yang membawa kepada penahanan lelaki berusia 47 tahun yang juga ayah kepada salah seorang individu yang ditahan sebelum ini.

“Hasil siasatan membawa kepada serbuan akhir di sebuah rumah di Puteri Wangsa, Ulu Tiram yang juga dijadikan stor penyimpanan dadah,” katanya lagi.

Menurut Kamarul Zaman, sindiket yang aktif sejak Ogos lalu menggunakan kaedah penghantaran kurier pengangkutan awam sebagai modus operandi mereka.

“Dadah dibawa dari utara hantar ke sini dan disimpan di lokasi yang mengelirukan.

“Mereka menyewa dua buah rumah yang mana salah sebuahnya dijadikan stor penyimpanan dadah. Manakala aktiviti pembungkusan dilakukan di sebuah pangsapuri.

Kesemua suspek direman tujuh hari hingga 11 November depan.

Enam daripada tujuh individu yang ditahan positif ganja dan methapethamin manakala salah seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Polis turut menyita dua buah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai bernilai RM5,000.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya-MalaysiaGazette