KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menggesa jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menjawab semua tuduhan pembangkang termasuk isu-isu lama yang dikitar semula.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pembangkang masih menjanjikan perkara-perkara yang mereka pernah ketengahkan pada PRU-14 dalam usaha mendapat sokongan rakyat.
Menurut beliau, walaupun PH gagal melaksanakannya dalam tempoh 22 bulan memerintah, mereka tanpa segan silu terus berbohong dan cuba menipu rakyat.
“Jentera UMNO dan BN tidak hanya boleh berharap bahawa rakyat sudah tahu pembangkang menipu dan berbohong, maka ia tidak perlu dijawab.
“Orang Melayu mudah lupa. Isu kitar semula yang diulang-ulang akan dipercayai. Pembohongan yang terancang akan dipercayai sebagai satu kebenaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mustapha turut mengingatkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Rafizi Ramli adalah tokoh yang mahir memutarbelitkan fakta melalui pembohongan.
Beliau menambah, kecaman terhadap mereka dalam kumpulan Facebook dan WhatsApp adalah tidak memadai kerana ia hanya dibaca oleh ahli-ahli kumpulan sahaja.
“Penjelasan perlu disampaikan secara bersemuka kepada pengundi. Dekati mereka dalam kumpulan yang kecil melalui sembang santai supaya ia dapat difahami dengan jelas,” katanya.
Mustapha memberitahu, jentera parti diingatkan agar jangan berasa selesa dengan kejayaan yang dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.
Beliau berkata, situasi PRU-15 adalah berbeza dan jentera parti tidak boleh terlalu mengharapkan bantuan dari luar.
“Kita kena jaga kita. Semua isu setempat mesti dijawab dan diperjelaskan kepada pengundi,” katanya.
Mustapha berkata, tokoh-tokoh veteran UMNO juga mesti turun padang dan jangan hanya berbual di kedai kopi setiap pagi dan petang.
“Pengendali kempen juga jangan meminggirkan mereka kerana mereka adalah orang yang berpengalaman dan berpengaruh,” – MalaysiaGazette