Calon Barisan Nasional P.082 Indera Mahkota, Datuk Quek Tai Seong (tengah) ketika mengadakan lawatan rumah ke rumah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Chendor, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2022.

KUANTAN – Pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Indera Mahkota cukup bertuah kerana calon baharu Barisan Nasional (BN) yang menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat sangat disenangi oleh sesiapa sahaja.

Datuk Quek Tai Seong atau begitu popular dalam kalangan penduduk di sini dengan nama Mat Quek.

Menariknya calon ini adalah seorang individu yang prihatin dengan keperluan penduduk setempat, mudah mesra dengan sesiapa sahaja dan sangat menghayati kehidupan masyarakat majmuk dan budaya pelbagai kaum di negara ini.

Biarpun baru dipilih untuk mewakili MCA dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, wajah Mat Quek dikenali dalam kalangan masyarakat Indera Mahkota ini.

Ini kerana, beliau sudah mula menyantuni masyarakat di sini sejak tahun 2006, ketika mula berkhidmat menjadi pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming.

Sejak itu beliau terus menaburkan bakti kepada rakyat di sini.

Quek Tai SeongDilahirkan pada 14 November 1979, Mat Quek berkata, nama itulah yang dipanggil  rakan-rakannya yang terdiri daripada orang Melayu.

Katanya, walaupun mewakili MCA namun tidak pernah kekok untuk bersama-sama bergaul dalam masyarakat majmuk di negara ini.

”Setakat berkempen ini, sambutan masyarakat memang baik, orang Melayu terima saya, orang India terima saya, orang Cina pun terima saya.

“Tiada masalah untuk masuk ke kampung kerana saya cukup mengenali  dan menjaga adab orang Melayu, budaya orang India dan Cina.

“Biarpun saya orang Cina, tapi saya banyak berkawan, jadi tiada isu orang Cina tak boleh masuk orang kampung dan tiada isu tidak boleh terima orang Cina sebagai wakil rakyat mereka.

“Sebab itu saya tidak ada masalah untuk berkempen di ceruk-ceruk kampung untuk berjumpa pengundi,” katanya yang cukup petah berbahasa Melayu.

Quek Tai Seong (dua kiri) bertanyakan khabar seorang penduduk yang sakit terlantar, Abdul Razak Awang NgaH ketika mengadakan lawatan rumah ke rumah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Chendor, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2022.

Mat Quek mengakui setakat ini para pengundi di Indera Mahkota memberi sambutan yang sangat baik dalam kalangan pengundi yang bahu Barisan Nasional mentadbir semula kawasan ini.’

Oleh itu, beliau cukup berkeyakinan tinggi mampu menjadi suara penduduk Indera Mahkota jika diberi kepercayaan dan mandat oleh pengundi-pengundi pada 19 November ini.

”Sambutan daripada orang Melayu sangat hebat, kalau tidak percaya, tanyalah mereka orang kampung, boleh terima saya,” ujar Mat Quek yang sentiasa ditemani isteri beliau, Tracy Liang sebagai tanda sokongan.

Pada PRU15 ini, Mat Quek berdepan dengan penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon Pakatan Harapan (PH), Zuraidi Ismail. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast