mohamad
Papan iklan untuk kempen BN memaparkan wajah Mohamad Hasan di simpang tiga pekan Chengkau di Rembau.

SEREMBAN – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dakwaan PKR Cabang Rembau kononnya perbelanjaan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) beliau telah melebihi had yang ditetapkan undang-undang.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau itu berkata, setakat ini, perbelanjaan yang dikeluarkan beliau masih sedikit dan digunakan untuk gerak kerja jentera parti.

Beliau juga hairan mengadap PKR menjadikan bendera BN dan papan iklan beliau yang banyak terpampang di sekitar kawasan Parlimen Rembau sebagai isu.

“Papan iklan tu kawan saya hadiahkan untuk saya, bukan saya keluar belanja. Saya tak tau pun, itu kawan-kawan nak tolong saya, bukan saya nak buat.

“Mereka nak tolong, ada yang nak tolong buat bendera, tolong buat papan iklan, nak bagi air mineral, itu bukan perbelanjaan saya,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan orang ramai di pasar malam Taman Tuanku Ja’afar, Senawang di sini, hari ini.

Mohamad
Mohamad Hasan (empat dari kanan) dan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bersama orang ramai di pasar malam Taman Tuanku Ja’afar, Senawang hari ini.

Terdahulu, Ketua PKR Cabang Rembau, Mohamad Hafiz Mohamad dalam sidang media di Rembau pagi tadi berkata, pihaknya mengesyaki BN dan Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan kos melebihi RM200,000 untuk bahan kempen PRU-15 seperti papan iklan dan bendera setakat ini.

Menurut beliau, jumlah itu melebihi had perbelanjaan yang dibenarkan di bawah Seksyen 19(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mohamad yang juga Presiden UMNO bersyukur apabila melihat bendera BN telah dipasang dan ada pihak yang bermurah hati mencetak kemeja-T untuk jentera parti.

“Bukan sahaja jentera yang bekerja secara sukarela tetapi kawan-kawan korporat banyak nak menolong saya,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menolak tanggapan pihak tertentu bahawa tindakan membenarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanding pada PRU-15 akan merugikan parti.

Mohamad menambah, Ahmad Zahid belum didapati bersalah dan tiada asas untuk UMNO meminta calon BN bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk itu tidak bertanding.

“Satu kes beliau telah ditolak tanpa dibicara dan lagi satu kes beliau sekarang masih dalam perbicaraan.

“Kita tak boleh menghukum seseorang itu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman,” katanya.

Pada 23 September lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Beliau masih berdepan 47 pertuduhan melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya. – MalaysiaGazette