Mohd Zaidi (tengah) berkempen di Pasar Malam Permatang Tok Elong, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

PERMATANG PAUH – Calon BN Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said menyifatkan provokasi yang dilakukan oleh parti Pakatan Harapan (PH) di tapak Pasar Malam Penanti, di sini, hanya untuk mengalih perhatian rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan parti itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk mendedahkan kegagalan PH selama 23 tahun menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Saya telah diasak dengan provokasi-provokasi daripada penyokong PH yang jelas sekali mengambil kesempatan kepada saya malah calon mereka sendiri buat sidang media untuk provokasi saya.

“Kenapa pada waktu sidang media diadakan tadi beliau tak dedahkan kenapa ayah dan ibu malah dia sendiri ketika menjadi Ahli Parlimen tidak melakukan apa-apa pembangunan di sini.

Tiada sebarang provokasi berlaku di lokasi kempen hari ini meskipun calon BN bertembung dengan calon PN.

“Paling utama kenapa dalam tempoh 22 bulan mereka menjadi kerajaan dahulu dan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak membentuk atau membawa pembangunan baharu di sini,” katanya kepada pemberita selepas berkempen di Pasar Malam Permatang Tok Elong, di sini, hari ini.

Tambah Mohd Zaidi, beliau akan terus mendedahkan kegagalan PH sepanjang tempoh berkempen berdasarkan fakta, sekali gus memberi kesedaran kepada rakyat kenapa Permatang Pauh perlu berubah daripada terus diwakili oleh mereka yang tidak membawa sebarang perubahan.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukan berlaku kekecohan di Pasar Malam Penanti, di sini, semalam membabitkan calon BN Permatang Pauh dengan parti lawan. – MalaysiaGazette