anwar PRU-15
Anwar Ibrahim berucap pada Program Jelajah Harapan di Dataran Taman Indah, Tampin, malam tadi.

TAMPIN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan sangat yakin beliau akan menjadi Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keyakinan itu dibayangkan oleh beliau dalam ceramah Program Jelajah Mega Harapan di Dataran Taman Indah di sini, malam tadi.

Di hadapan ribuan penyokong, calon PH bagi kerusi Parlimen Tambun itu memberitahu, beliau yang akan mengumumkan cuti selepas PRU-15, dan bukannya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau manifesto PN yang diumumkan oleh Muhyiddin, apa dia? Pertama, cuti. Yang nak umum cuti bukan dia.

“Insya-Allah yang nak umum cuti tu saya,” katanya sambil disambut sorakan oleh para penyokongnya.

Semalam, Muhyiddin yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh berkata, cuti umum akan diberikan jika PN diberi mandat oleh rakyat pada PRU-15, 19 November ini.

Menurut beliau, inisiatif tambahan dalam manifesto mereka itu adalah bagi memudahkan orang ramai yang terpaksa pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

Anwar turut mengecam janji PN dalam manifesto untuk membenarkan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Beliau yang juga Presiden PKR mendakwa, KWSP kini tidak mempunyai dana mencukupi untuk melaksanakan inisiatif tersebut.

“Apa punya idea ni? Keluar KWSP kita cadang setahun setengah yang lalu, dua tahun.

“Sekarang tak ada wang dah. Tak baca. Tak tahu. Macam ini nak jadi Perdana Menteri?” soalnya.

Anwar turut mengingatkan Muhyiddin bahawa dana KWSP adalah milik rakyat untuk kegunaan pada masa hadapan mereka. – MalaysiaGazette