Yee Fung bertemu dengan penduduk Kampung Naran di Batu Maung yang berdepan situasi kekerapan berlaku banjir. - Gambar file calon

BAYAN BARU – Hasrat menjadikan Bayan Baru sebuah kawasan ekonomi berpendapatan progresif dan tempat tinggal yang kondusif menjadi visi yang dipertaruhkan oleh calon MCA Parlimen ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Saw Yee Fung, visi ini menjadi keutamaannya untuk memastikan penduduk Bayan Baru menikmati perubahan baharu memandangkan sudah tiga penggal Parlimen tersebut dimenangi calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Sudah tiba masanya kita membuat perubahan kepada Bayan Baru agar berwajah baharu buat penduduk setempat di sini.

“Ini kerana sepanjang enam bulan lebih saya menyantuni penduduk Parlimen Bayan Baru, beberapa isu diutarakan mereka yang perlu saya selesaikan demi memastikan visi saya kepada penduduk di sini tercapai.

“Antara isu yang dibangkitkan termasuk kesesakan lalu lintas yang memerlukan penduduk keluar sekurang-kurangnya satu jam lebih awal serta kekerapan berlaku banjir khususnya di Kampung Naran, Batu Maung di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Seorang penduduk melihat kertas kempen Yee Fung yang diedarkan kepada para pengundi setempat.

Mengulas lanjut Yee Fung berkata, selain membuat perancangan teliti dan sempurna untuk menangani isu yang dibangkitkan penduduk dia juga bertanggungjawab untuk menaikkan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Walaupun terdapat banyak kilang namun pendapatan penduduk di sini tidak tinggi, selain dihimpit pula dengan isu kos sara hidup yang kian meningkat.

“Jadi kita kena buat transformasi ekonomi untuk meningkatkan pendapatan penduduk sekali gus menangani kos sara hidup,” katanya.

Yee Fung berdepan saingan enam penjuru di Parlimen Bayan Baru membabitkan Sim Tze Tzin dari Pakatan Harapan yang juga penyandang, Oh Tong Keong (Perikatan Nasional), Jeff Ooi (Warisan) Ravinder Singh (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas, Kan Chee Yuen. – MalaysiaGazette