Ong Tee Keat semasa Walkabout menyantuni pengundi di taman Muda Ampang pagi ini menjelang PRU15 19 November ini.

KUALA LUMPUR – Calon parti Warisan bagi kerusi Parlimen Pandan, Tan Sri Ong Tee Keat mendakwa jenteranya memiliki senjata rahsia dan kaedah ampuh untuk memujuk dan meraih sokongan undi muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 19 November ini.

Bekas Presiden MCA yang membuat kemunculan semula itu berkata, cara untuk menambah hati dan menarik sokongan ke arah partinya akan dibentangkan kelak.

“Saya sedar ramai kata undi18 dan pemuda yang kali pertama akan memangkah pada PRU15 ini masih di atas pagar, tapi ada caranya untuk memujuk dan meyakinkan mereka.

“Tengoklah sebelum hari mengundi nanti, cara itu sudah tentunya akan kami bentangkan nanti.

“Sekarang ini masih awal lagi untuk kita nak uar-uarkan sebab kita tahu ramai remaja pengundi kali pertama mungkin masih meraba-raba dan kebanyakan mereka ini akan merujuk kepada ibu bapa mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, pagi tadi, Tee Keat melakukan walkabout mendekati pengundi di lorong gerai makanan Taman Muda Ampang.

Justeru, beliau tidak risau dengan situasi semasa, meskipun mengakui ia satu misi yang mencabar untuk meyakinkan pengundi muda.

Beliau mengakui sokongan pengundi kepadanya penting bagi membolehkannya membawa perubahan di Pandan.

“Saya masih ingat lagi semasa saya menjadi menteri Kabinet pun saya beri keutamaan kepada remaja, pernah saya jadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, walaupun sudah lama tetapi pengalaman saya masa itu adalah aset untuk mendampingi golongan remaja,” ujarnya.

Parlimen Pandan menyaksikan pertembungan lima penjuru yang mana Tee Keat akan menentang Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang dipertaruhkan oleh PH di kawasan itu.

Sebelum ini, kerusi itu disandang oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sejak 2018 lalu yang kini dicalonkan di Parlimen Bandar Tun Razak. – MalaysiaGazette