Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar kenaikan gaji minimum kepada RM1,800 untuk penjawat awam dimasukkan  dalam manifesto parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, setakat inin tiada parti politik berbuat demikian.

Katanya, CUEPACS sentiasa memperjuangkan hak-hak kebajikan penjawat awam khususnya dalam soal kenaikan gaji minimum sejak dua tahun lalu berikutan kos sara hidup yang meningkat.

“Kami cadangkan agar parti politik yang bertanding dalam PRU kali ini mengangkat gaji minimum RM1,800 untuk penjawat awam dalam manifesto mereka.

“Yang penting kami nak gaji perlu ditingkatkan kepada minimum RM1,800 kepada penjawat awam kerana jumlah yang diterima tidak selesa, tidak selesa untuk beli rumah, kereta, makanan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Lima elemen utama ini hendaklah ada dalam gaji tersebut di bawah gaji minimum walaupun kerajaan sekarang letakkan minimum RM1,200 kerana pada waktu persaraan kita mahu penjawat awam bersara dengan selesa memandang banyak tanggungjawab yang mencabar dipikul penjawat awam dalam kehidupan,” katanya selepas majlis pelancaran program takaful kemalangan diri, myPOLISPA dan myPENGUATKUASAPA, di sini, hari ini.

Adnan menambah, pihaknya tetap menyambut baik pelbagai insentif yang diberikan kerajaan sebelum ini termasuk pemberian bantuan sebanyak RM700 dan RM600 dalam bentuk bantuan khas Aidilfitri.

Katanya, dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 beliau mendapat ramai ahli politik mencadangkan bermacam-macam kebajikan penjawat awam dalam kempen mereka.

Beliau yang menyambut baik cadangan tersebut berkata, apabila telah menang jangan pula apa yang dijanji itu tidak dilaksanakan. – MalaysiaGazette