Penyandang Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar ketika menyerahkan watikah kepada Calon Barisan Nasional P.093 Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos pada Majlis Penyerahan Watikah Calon Parlimen Selangor di Bangunan Kumpulan Muara Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BESAR – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak ‘goyang’ dengan gelaran ‘bad boy‘ yang dilabelkan kepadanya oleh pihak tertentu dalam arena politik susulan kelakuannya dalam membantah isu-isu yang menjejaskan rakyat Selangor beberapa tahun lepas.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, kelakuan atau gimik yang dilakukannya bukan sekadar suka-suka tetapi demi menarik perhatian pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah yang diketengahkan.

Mengimbau kembali aksinya yang mendapat perhatian lensa media, anak watan Sungai Besar itu berkata perbuatannya bertuala di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 2016 ialah untuk memprotes gangguan bekalan air yang kerap berlaku ketika itu sehingga menyusahkan rakyat.

Selain itu katanya, tindakan beliau memecah masuk premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi pada 2016 dan memecahkan botol arak di hadapan Bangunan SUK pada 2017 juga sebagai tanda protes terhadap sebarang aktiviti yang memberikan kesan buruk terhadap anak muda dan masyarakat.

“Mungkin cara saya sampaikan bantahan itu berlainan daripada orang lain, tetapi ia berjaya membuka mata banyak pihak. Walaupun mendapat beberapa gelaran yang kurang menyenangkan dari pihak tertentu susulan tindakan saya itu, saya percaya pengundi dan penduduk Sungai Besar kenal dengan perwatakan saya yang sebenar,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Jamal yang pertama kali bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 menasihati pengundi agar memilih parti berpengalaman yang mampu memberikan kestabilan ekonomi untuk mentadbir negara dan BN terbukti mempunyai pengalaman luas dalam perkara tersebut.

Jamal berdepan pertembungan empat penjuru di Sungai Besar melibatkan penyandang Datuk Muslimin Yahaya (PN) dan calon lain, Saipolyazan Mat Yusop (PH) dan Asmawar Samat@Samad (Pejuang). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast