BATU PAHAT –  Laluan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park tidak akan dibenarkan beroperasi sehingga punca kerosakan sebenar dapat dikenal pasti dan diatasi sepenuhnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penutupan bagi mengelakkan keadaan lebih teruk kepada pengguna lain.

Katanya, sehingga kini beliau hanya diberitahu punca kejadian laluan disebabkan kehilangan signal antara pusat kawalan dan tren.

“Saya hanya dimaklumkan itu sahaja, punca sebenar sepenuhnya masih tidak dimaklumkan.

Untuk itu, laluan berkenaan akan ditutup selama tujuh hari mulai hari ini  bagi kerja-kerja baik pulih.

Laluan itu hanya akan dibuka selepas benar-benar boleh beroperasi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Pihak Prasarana juga dingatkan sentiasa memberikan maklumat kepada orang ramai perkembangan kerja baik pulih laluan berkenaan bagi membolehkan mereka membuat perancangan perjalanan mereka samada menggunakan alternatif pengangkutan lain atau sebaliknya,” Katanya.

Ka Siong yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Ayer Hitam berkata kepada media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob di Komplek Balai Orang Ramai di Taman Suria, Ayer Hitam delay sini hari ini..

Dalam pada itu, pihak Prasarana dalam kenyataannya berkata, semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu pada pukul 11 malam bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja rektifikasi dan baik pulih

Pihak Rapid Rail juga akan berusaha untuk menyelesaikan masalah rumit itu dalam masa tersingkat manakala perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan bagi menampung penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen yang terjejas.-MalaysiaGazette