KUALA LUMPUR – Penjaga gol utama PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dilaporkan sedang diburu beberapa pasukan Liga Malaysia berdasarkan persembahan cemerlangnya musim ini.
Pemain kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu berjaya mengukuhkan benteng PJ City apabila hanya dibolosi sebanyak 27 kali dalam 22 perlawanan.
Spekulasi mengatakan beberapa pasukan Liga Malaysia mula menunjukkan minat untuk membawa Kalamullah yang berusia 27 tahun ke dalam skuad mereka.
Perkara itu pastinya mendatangkan kegembiraan buat penjaga gawang itu apabila dia berpeluang untuk beraksi di samping benteng pertahanan lebih baik, sekali gus meningkatkan kebolehannya.
Kalamullah dikaitkan bakal berhijrah ke pasukan Kedah Darul Aman FC, Penang FC dan Perak FC bagi memperkuatkan benteng terakhir pasukan mereka.
Sementara itu, status PJ City boleh diibaratkan ‘telur di hujung tanduk’ selepas khabar angin yang mengatakan mereka akan menarik diri dalam saingan Liga Super musim depan.
Sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan pasukan tersebut bagi menjawab kesemua tanda tanya berkenaan keadaan semasa mereka.
Status kewangan serta dana mungkin menjadi salah satu faktor utama yang mendorong kepada wujudnya khabar angin pembubaran pasukan itu.
Tambahan pula, perubahan format liga pada musim depan serta penambahan kuota pemain import semestinya menjadi satu cabaran besar buat pasukan yang tidak mempunyai bajet besar seperti PJ City.
PJ City yang rata-ratanya dibarisi pemain tempatan berstatus bintang pastinya akan menjadi rebutan pasukan Liga Malaysia bagi menghadapi saingan musim depan. – MalaysiaGazette