ARAU – Anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa memaklumkan bapanya berpuas hati dengan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) di seluruh negara bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jelasnya, Najib menyifatkan tindakan parti menampilkan calon muka baharu yang terdiri daripada golongan profesional dan muda merupakan langkah bagus terutamanya untuk memikat hati pengundi muda.
“Meskipun tidak dapat berkomunikasi dengan sesiapa kecuali keluarga, beliau tetap sampaikan kebanggaan berhubung pemilihan calon PRU15 oleh parti.
“Beliau bangga ramai calon dari pelbagai latar belakang, golongan profesional serta muka baru yang ditampilkan parti pada PRU kali ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Nooryana berkata, walaupun bapanya dalam penjara namun tetap berfikir tentang parti selain mengharapkan BN memperoleh kemenangan besar kali ini.
“Beliau (Najib) sihat namun rasa kecewa sebab untuk pertama kali dalam masa 46 tahun tidak dapat terlibat secara langsung untuk pilihan raya.
“Beliau kecewa tidak boleh bersama akar umbi dan parti untuk teruskan perjuangan parti tapi beliau menerima cabaran ini.
“Jadi kita doakan sahaja beliau tabah dan semoga akan dapat keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette