Keadaan sesak berikutan orang awam beratur panjang menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2022.

SUBANG – Prasarana sedang mengkaji bagaimana ia boleh memberi pampasan dan bayaran balik kepada penumpang yang terjejas akibat gangguan di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

Ia berikutan Rapid Rail terpaksa menutup stesen di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya selama seminggu mulai hari ini.

Pada sidang media hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rapid Rail, Azharuddin Mat Shah turut membuat permohonan maaf terbuka kepada semua pengguna LRT bagi laluan Kelana Jaya dan LRT Ampang Park akibat kesulitan yang berlaku.

Penggantungan operasi LRT itu terpaksa dilakukan bagi membolehkan pakar-pakar mencari jalan penyelesaian terhadap gangguan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC) yang berlaku sejak Sabtu lalu.

Lantaran itu, perkhidmatan LRT di stesen yang terlibat terpaksa dihentikan demi keselamatan para pengguna.

Beliau menyifatkan, masalah berkaitan kawalan tren automatik ini merupakan yang pertama kali dihadapi Rapid Rail dan ia berlaku di luar jangkaan.

“Masalah ini yang pertama kali kami hadapi, masalah rumit yang terjadi sejak Sabtu lepas dan pihak jurutera kami telah cari solusi, setiap kali cari solusi ia hanya bertahan selama satu atau dua hari jadi maknanya punca sebenarnya kami tidak dapat kenal pasti  lagi.

“Masalah ini berlaku pada luar jangkaan kami dan masalah ini jarang didengari berlaku di mana-mana pun,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Mohd Azharuddin turut mengakui terdapat beberapa komponen elektronik ATC dan juga tren yang hampir dan mencapai jangka hayat.

Namun, pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada lembaga pengarah dan dalam perancangan untuk menukarnya.

“Kami memang sudah dapat peruntukan untuk menukar dan tambah baik sistem berkenaan tapi apa yang berlaku ini adalah di luar jangkaan,” tambahnya.

Azharuddin menambah,  pihaknya sedang menunggu ketibaan pasukan pakar pengilang peralatan alat (OEM) daripada Kanada bagi membantu mencari dan menyelesaikan masalah ini.

“Kami jangkakan yang terbaik dan mahu buat yang terbaik dan kami cuba sedaya upaya kami,” jelas beliau.

Menurutnya, syarikat itu mengendalikan seramai 200,000 penumpang untuk LRT Laluan Kelana Jaya pada setiap hari.

Bagi mengurangkan kesan penggantungan operasi LRT ini, Rapid KL menyediakan sebanyak 73 bas percuma disediakan kepada orang ramai. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast