Gambar Hiasan

BATU PAHAT – Polis belum menerima sebarang laporan berhubung apa-apa insiden yang berlaku di kawasan Parlimen Batu Pahat sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, laporan mengenai kes-kes melibatkan kerosakan barang kempen mana-mana parti juga tidak diterima.

“Setakat ini tiada terima sebarang report perbuatan khianat barang kempen,”katanya ringkas menerusi hantaran di aplikasi Whatsapp.

Beliau memberikan respons itu bagi mengulas dakwaan calon Pakatan Harapan (PH), Onn Abu Bakar yang mendakwa ada pihak telah melakukan khianat terhadap bahan kempennya apabila terdapat billboard yang dipasang ditumbangkan.

Katanya, beliau ada menerima beberapa keping gambar mengenai kejadian itu daripada jentera kempennya kelmarin.

Susulan itu, beliau meminta rakan-rakan yang berada di kawasan-kawasan terlibat supaya membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat memantau kawasan-kawasan panas.

Onn berkata, setakat ini beliau tidak mengesyaki pelaku yang telah bertindak sedemikian, namun percaya ia dilakukan oleh parti lawan. – MalaysiaGazette

Billboard kempen calon PH Batu Pahat ditumbangkan