BERA – Sistem pendidikan yang hanya memberi tumpuan cemerlang di atas kertas sahaja tidak memadai bagi pembangunan modal insan di negara ini.
Seharusnya para pelajar diterapkan nilai-nilai moral dan peribadi seperti di negara membangun lain.
Calon Pakatan Harapan Parlimen Bera, Abas Awang berkata, beliau akan membawa perubahan besar dalam sistem pendidikan negara jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
“Idea ini sebenarnya daripada bakal Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar juga. Antara fokus ialah untuk membina moral, karakter manusia dan membangun nilai peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama dua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada PH iaitu Noraini Abdul Ghani (Guai) dan Leong Yu Man (Triang) di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bera, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peranan Pengetua atau Guru Besar di sekolah juga penting dalam pembangunan karakter pelajar.
Justeru katanya, beliau mahu Pengetua dan Guru Besar hanya 40 peratus terlibat dengan pentadbiran, manakala 60 peratus lagi perlu berada bersama para pelajar supaya mereka dapat terbina watak dan perangai yang baik, belajar daripada contoh.
“Bina suasana kasih sayang kerana apabila wujud kasih sayang, dunia akan selamat,” ulasnya.
Selain itu, jika diberi mandat menang di Parlimen Bera, Abas juga mahu memperjuang nasib peneroka tanah rancangan Felda dengan membenarkan permohonan pecahan lot untuk pembinaan kediaman kedua.
“Masyarakat Felda hanya dibenarkan duduk satu lot seorang, tapi jika diberi mandat, mereka boleh pecah satu lot seperti di Negeri Sembilan,”tambah Abas.
Beliau juga mahu memperjuang isu pemilikan tanah masyarakat Orang Asli di sini jika diberi peluang menang kelak.-MalaysiaGazette