Gambar hiasan

SHAH ALAM – Dianggarkan sebanyak 20 rumah terjejas ekoran banjir kilat di Kampung Budiman, Puncak Alam di sini berikutan hujan lebat  sejak kira-kira 3 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, banjir kilat itu susulan hujan lebat dan berlaku limpahan air daripada longkang besar berhampiran menyebabkan air naik sekitar satu meter.

Katanya pihak bomba menerima panggilan pukul 5.15 petang dan tiba di lokasi pada 5.45 petang.

“Penduduk bertindak keluar ke tempat lebih tinggi dan seorang warga emas telah dipindahkan menggunakan bot bomba ke tempat tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini hujan telah berhenti dan paras air juga mula menyurut.

Katanya pada masa sama banjir turut melanda Taman Setia Warisan, Seksyen U6 dengan menjejaskan kira-kira 20 rumah di kawasan terbabit namun tiada mangsa dipindahkan dan pihak bomba masih membuat pemantauan di lokasi memandangkan paras air yang semakin meningkat.

Norazam turut memaklumkan, beberapa kawasan di sekitar Meru juga dilanda banjir kilat sedalam 0.3 meter  melibatkan kawasan Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan, Taman Daya, Jalan Khamis, Jalan Jabar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru.

Tiada mangsa dipindahkan dan hujan kembali reda dengan paras air semakin menurun, katanya. – Bernama