GEORGE TOWN – DAP akan mengisytiharkan harta calon-calon yang bertanding apabila diberi mandat untuk membentuk Kerajaan Pusat.
Setiausahanya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP tidak mempunyai polisi calon-calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta mereka.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya dipilih sebagai Kerajaan Pusat mereka akan umumkan harta seperti mana yang diamalkan sebelum ini.
“Kita tiada polisi (isytihar harta) sebegitu tetapi jika kita dipilih sebagai kerajaan sebelum kita angkat sumpah kita akan isytiharkan,” katanya ketika diminta mengulas sama ada DAP akan mengikut jejak Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melakukan pengisytiharan harta.
Terdahulu, Anthony Loke turun membantu kempen calon DAP Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying di Pasar Lebuh Cecil di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeon yang merupakan penyandang kerusi Tanjong serta calon Bagan, Lim Guan Eng.
Dalam perkembangan lain, DAP meminta polis Perak menilai semula peraturan mendapatkan permit untuk program turun padang (walkabout) yang dikenakan terhadap semua calon di negeri itu.
Jelas beliau, peraturan itu tidak termaktub dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selain hanya akan menyusahkan calon untuk berkempen.
“Perkara (mohon permit walkabout) ini mengarut, sudah lima pilihan raya saya bertanding dan tidak ada peraturan begini.
“Permit hanya dikenakan apabila kita adakan perhimpunan atau ceramah jadi kita minta Polis Perak untuk menilai semula peraturan ini.
“Sepanjang program walkabout dijalankan tidak pernah berlaku kejadian buruk terhadap calon meskipun ada kalanya bertembung dengan calon daripada parti lawan,” jelasnya. – MalaysiaGazette