KUALA LUMPUR – Satu geng mencuri kabel tembaga yang didalangi warga asing tumpas dengan tertangkapnya lima lelaki dalam beberapa serbuan yang dilakukan sekitar Banting pada Sabtu lalu
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, serbuan dilakukan berikutan laporan dibuat seorang peniaga yang mendakwa setor simpanan kabelnya didapati dipecah masuk dan dicuri.
Berikutan itu, tambah beliau, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menyerbu sebuah rumah di Banting dan memberkas seorang Indonesia yang merupakan dalang utama geng terbabit.
“Soal siasat ke atas suspek pertama itu akhirnya membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah lagi premis di kawasan Banting sebelum berjaya menahan empat lagi suspek pada jam 5.10 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Ridhwan, penahanan suspek itu membawa kepada rampasan tiga guni berisi kabel tembaga yang telah dibakar, lima gulungan kabel, dua batang kabel tembaga selain sebakul gumpalan kabel di kediaman mereka bernilai RM20,000.
Katanya, polis turut merampas satu pemotong logam, sebuah kereta Perodua Kancil, dua buah motosikal yang curi yang disyaki digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.
Tambah beliau, kumpulan itu dipercayai aktif mencuri kabel di sekitar Banting sejak dua bulan lalu.
Katanya, kesemua suspek yang berusia 33 hingga 51 tahun kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – MalaysiaGazette