Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua majikan dalam sektor swasta digesa untuk memberikan kebenaran kepada para pekerja keluar mengundi pada 19 November dan undi pos pada 15 November ini selaras dengan peruntukkan di bawah subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, para majikan hendaklah berbincang dengan pihak pekerja berkenaan dengan opsyen untuk pemberian time-off, hari pelepasan berganti atau cuti tahunan bagi tujuan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Para majikan boleh mengambil langkah-langkah seperti memberi time-off kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian yang berdekatan atau memberi pelepasan kepada pekerja yang perlu mengundi di tempat pengundian yang jauh.

Bagi pekerja yang memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat mengundi pula boleh mengambil cuti tahunan.

Beliau menegaskan, majikan adalah tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana mengundi.

Mana-mana majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah subseksyen 25(1) Akta 5 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika disabitkan kesalahan, ujar beliau. – MalaysiaGazette