anwar
Anwar Ibrahim

SETIAP kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) akan membuka jalan yang lebih luas untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Naratif itu sering dilaungkan pemimpin-pemimpin PH ketika berucap di hadapan penyokong mereka dalam siri ceramah kempen yang bermula Sabtu lalu.

Antaranya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; calon PH bagi kerusi Parlimen Tampin, Faiz Fadzil dan calon PH bagi kerusi Parlimen Rembau, Jufitri Joha.

Secara tidak langsung, mereka cuba menyampaikan mesej bahawa Anwar yang juga Pengerusi PH hanya boleh menjadi pemimpin nombor satu negara sekiranya PH memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi termasuk Seremban, Tampin dan Rembau.

Soalnya, masih relevankah matlamat menjulang Anwar sebagai Perdana Menteri dijadikan modal kempen utama kempen calon-calon PH bagi meyakinkan rakyat untuk mengundi mereka?

Selain Tambun, tidak nampak apa kesan langsung terhadap rakyat di kawasan-kawasan Parlimen lain terutamanya yang termasuk dalam kategori luar bandar seperti Rembau, Tampin, Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah.

Penduduk luar bandar sebenarnya mahu melihat apakah visi dan misi calon-calon yang bertanding untuk membangunkan kawasan Parlimen mereka lebih-lebih lagi dari segi penyediaan infrastruktur yang lebih baik.

Memang benar tidak semua pekan kecil atau bandar boleh dimajukan sehingga mencapai tahap bandar raya metropolitan seperti Kuala Lumpur.

Namun sekurang-kurangnya penduduk luar bandar mahu isu-isu yang membelenggu mereka seperti kemudahan pengangkutan awam tidak memuaskan dan liputan internet yang teruk diberi perhatian yang serius.

Berkempen dengan menggunakan modal Anwar mesti dinaikkan menjadi Perdana Menteri juga boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap calon PH terutamanya muka baharu seperti Jufitri.

Pengundi mahu melihat calon yang yakin dengan kemampuan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada pemimpin lama yang pengaruhnya semakin pudar seperti Anwar.

Majoriti rakyat telah memberi peluang kepada PH untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri pada PRU14 namun mereka telah melepaskannya begitu sahaja akibat perbalahan dalaman yang menyebabkan kerajaan PH tumbang dengan sendirinya selepas 22 bulan berkuasa.

Mungkin lebih baik jika calon-calon PH menggunakan kesempatan semasa berkempen untuk meminta maaf kepada rakyat atas segala kelemahan dan kegagalan mereka sewaktu berkuasa dahulu.

Mudah-mudahan hati rakyat yang panas menjadi sejuk dan sekurang-kurangnya kekalahan yang bakal menimpa PH tidak seteruk seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast