KUALA LUMPUR – Perodua melepasi paras jualan 200,000 baru-baru ini apabila syarikat kereta kompak itu mencatatkan pendaftaran sejumlah 222,203 kenderaan antara Januari dan Oktober tahun ini.

Bagi perbandingan tahun setakat ini, pendaftaran untuk kereta Perodua melonjak kepada 51.2% daripada 146,951 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2021.

”Kami menjangkakan momentum pendaftaran akan terus meningkat sehingga akhir tahun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

Bagi Oktober 2022, Perodua menjual 25,849 unit iaitu peningkatan sebanyak 5% berbanding 24,626 unit yang dijual pada September 2022.

Model Perodua tiga teratas yang dijual pada Oktober ialah Bezza dengan 6,768 unit, diikuti Myvi dengan 6,130 unit dan Axia dengan 4,989 unit.

Dari segi pengeluaran, Perodua telah mengeluarkan 22,974 unit pada Oktober menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dikeluarkan adalah sebanyak
229,811 unit antara Januari dan Oktober tahun ini.

”Kami merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan jumlah jualan kerana kami cuba melepasi sasaran jualan yang ditetapkan sebelum ini bagi tahun 2022 dan ini akan dapat mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan,” ujarnya. – MalaysiaGazette