Muhammad Rafique Rashid Ali

SHAH ALAM – Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Muhammad Rafique Rashid Ali tidak berminat memasang cita-cita menjadi Perdana Menteri sekiranya Gerakan Tanah Air (GTA) diberi peluang membentuk kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau secara sinis memberitahu, tumpuannya ialah untuk menyelesaikan isu yang menghimpit rakyat seperti kos sara hidup, mencari peluang pekerjaaan kepada anak muda dan menyediakan pembangunan yang seimbang.

“Kita kena sedar, kita berada dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil. Tahun depan kita akan alami krisis ekonomi peringkat global, mengapakah kita di Malaysia masih membincangkan siapa nak jadi Perdana Menteri?.

“Tumpuan saya di Shah Alam ini hendak memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa. Saya nak selesaikan dahulu masalah yang dihadapi rakyat.

“Isu nasional berkaitan Perdana Menteri, itu kemudian. Boleh bincang selepas 19 November ini,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini, semalam.

Katanya, sepanjang lima hari turun berkempen, beliau dapat merasakan rakyat Shah Alam teruja untuk mengenalinya secara dekat dan bertanya kerja apa, berapa lama pengalaman serta apa visi dan misinya.

Menurut Muhammad Rafique, Shah Alam boleh dikategorikan sebagai kerusi panas yang mempunyai lebih 165,000 pengundi selepas pendaftaran automatik bagi yang berumur 18 tahun.

“Di kawasan ini ada lebih 121,000 pengundi Melayu, lebih 21,000 pengundi Cina, lebih 19,000 pengundi India dan 158 orang asal atau Masyarakat Orang Asli.

“Mereka ini boleh dikatakan Melayu bandar. Pada masa sama demografinya juga menunjukkan adanya Melayu yang dikategorikan berpendapatan tinggi, tetapi memiliki gaya hidup berbeza.

“Ada juga dikategorikan sebagai miskin bandar dan dua kategori ini saya temui dalam program walkabout di Bukit Jelutong, di Seksyen 24, Sekysen 18, Seksyen 6 dan Seksyen 4 selama lima hari berkempen,” katanya.

Beliau berkata, apabila turun di kawasan itu, ada reaksi positif untuk mereka membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

“Maklum balas ini berlaku di depan dan pasukan jentera saya juga memberi jawapan yang sama, ada reaksi positif dalam kalangan rakyat Shah Alam.

“Mereka ramah macam biasa dan bersemangat untuk membuat perubahan. Oleh itu, jika saya diberi mandat, pertamanya, saya akan laksanakan tanggungjawab yang diamanahkan demi aspirasi rakyat.

“Saya tidak gelojoh sebagaimana pihak lawan yang hanya memikirkan puncak kuasa siapa hendak jadi Perdana Menteri, menteri dan mahu mentadbir negara. Itu penting, tetapi bukan sekarang,” katanya.

Katanya, rakyat keluar mengundi Sabtu depan bukan untuk memilih perdana Menteri, tetapi memilih wakil yang benar-benar dapat menjaga dan membela kebajikan mereka. – MalaysiaGazette