Calon Barisan Nasional (BN) P.58 Bagan Serai , Zul Helmi Ghazali sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Bangunan UMNO Bagan Serai, Perak. Foto MALAYSIA GAZETTE, 09 NOVEMBER 2022.

BAGAN SERAI – Pengalaman selama 17 tahun di Agensi Nuklear Malaysia dalam bidang tenaga atom dan nuklear akan digunakan sepenuhnya membantu Malaysia untuk membangun dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui pada masa depan.

Calon Barisan Nasional (BN) Bagan Serai Zul Helmi Ghazali merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah Agensi Nuklear Malaysia dan memulakan perkhidmatan sebagai pegawai penyelidik bermula pada 2003.

Beliau pernah menjadi pakar jemputan ke mesyuarat Pembangunan Pusat Sokongan Sekuriti Nuklear Negara di Vienna, Austria pada 2016 dan terbaharu menjadi Ahli Jawatankuasa Rangkaian Keselamatan dan Sekuriti Global Nuklear.

Zul Helmi juga menjadi penasihat projek Pembangunan Keupayaan Pengesanan Sekuriti Nuklear di Zambia serta menjadi pakar jemputan membenteras keganasan nuklear di Lithuania.

Menurut beliau, Malaysia amat dipandang tinggi oleh komuniti antarabangsa kerana mempunyai banyak pakar dalam bidang nuklear dan teknologi hijau.

“Pada saya yang mempunyai sedikit pengalaman dan pengetahuan dalam bidang tenaga atom atau nuklear kita perlu contohi negara seperti Jerman dan Perancis yang mengguna tenaga nuklaer sebagai tenaga alternatif.

“Banyak manfaat yang kita boleh dapat, banyak penjimatan dan kita akan setaraf negara maju

“Dalam sekuriiti nuklear Malaysia antara nengara yang dipandang tinggi oleh agensi atom antarabangsa kerana kita mempunyai pelbagai pakar dalam pengurusan alam sekitar dan tenaga nuklear dan kita juga bersama-sama membantu negara lain,” kata Zul Helmi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan berlangsung pada 19 November ini beliau menghadapi persaingan empat penjuru.

Beliau akan menentang Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad (Perikatan Nasional), Siti Aishah Shaik Ismail (Pakatan Harapan) dan Ahmad Luqman (Pejuang).

Parlimen Bagan Serai milik BN pada PRU14 sebelum penyandang kerusi itu Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali keluar parti dan menjadi ahli Parlimen bebas.

Menurut Zul Helmi, visinya untuk melihat Malaysia menggunakan tenaga boleh diperbaharui lebih mudah jika dipilih oleh rakyat Bagan Serai sebagai ahli Parlimen.

“Kita patut hargai dengan kepakaran orang-orang kita dengan cuba sama-sama mempelopori penggunaan tenaga nuklear pada masa akan datang.

“Penggunaan nuklear selamat jika dilakukan dengan betul. Ia juga bersih dan mempunyai penjimatan.

“Alhamdullilah kita ada pelbagai pakar dalam bidang nuklear di Jabatan Tenaga Atom, Agensi Nuklear Malaysia dan pakar dalam bidang ini di USM, UKM, UTM serta agensi lain,” katanya.

Sebagai calon baharu beliau percaya pengundi di Bagan Serai akan memberi peluang kepadanya untuk meneruskan pembangunan di parlimen itu seperti yang telah dilakukan oleh pemimpin BN sebelum ini.-MalaysiaGazette