Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menurunkan tandatangan sebagai gimik Pelancaran Rumah Pahang (Perumahan Generasi Baharu FELDA) di Felda Sungai Retang, Jerantut, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2022.

JERANTUT – Kerajaan Pahang komited membangunkan 10 tapak projek perumahan generasi baharu FELDA yang terbengkalai untuk dibangunkan semula melibatkan pembinaan 1,850 buah unit.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Projek Rumah Pahang itu merupakan manifestasi kerajaan negeri bagi memastikan setiap rakyat memiliki kediaman sendiri.

Rumah Pahang (Perumahan Generasi Baharu FELDA) yang baru dilancarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Felda Sungai Retang, Jerantut, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2022.

“Kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membangunkan semula projek yang terbengkalai sejak 15 tahun lepas akan dibina di atas tanah seluas 191.787 ekar di Maran, Jerantut, Kuantan dan Rompin.

“Spesifikasi Rumah Pahang merupakan rumah teres setingkat berkeluasan 800 kaki persegi yang dibina di atas tanah seluas 1,400 kaki persegi dan dijual pada harga RM120,000,” katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meninjau keadaan Rumah Pahang (Perumahan Generasi Baharu FELDA) yang baru dilancarnya di Felda Sungai Retang, Jerantut, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2022.

Wan Rosdy berkata demikian selepas meninjau rumah contoh di tapak projek FELDA Sungai Retang di sini hari ini.

Permohonan boleh dibuat melalui LPHP iaitu secara online melalui erumahan.pahang.gov.my.

Hari ini sempena pelancaran Rumah Pahang, permohonan akan
mula dibuka dan rakyat negeri ini yang berminat boleh berhubung terus di kaunter Lembaga Perumahan Hartanah Pahang (LPHP).

Pemilihan kepada mereka yang layak adalah melalui jawatankuasa pemilihan yang dikendalikan oleh LPHP dan dianggotai oleh pegawai daerah dan wakil rakyat di sesebuah kawasan. – MalaysiaGazette